Teka-teki Ikan Yang Hilang merupakan salah satu teka-teki berasaskan logik yang memerlukan proses taakulan dan koordinasi untuk menyelesaikannya. Ianya diadaptasi daripada versi Bahasa Inggeris yang dikenali sebagai ‘Einstein’s Puzzle’ bersempena nama salah seorang ahli fizik terkenal, Albert Einstein yang digembar-gemburkan sebagai penciptanya ketika beliau masih muda. Terdapat juga versi yang menyatakan bahawa tujuan Einstein mencipta teka-teki ini adalah untuk menjauhkan pelajar-pelajar yang sering datang dan mahukan beliau menjadi penyelia atau penasihat mereka di institut beliau. Walaubagaimana pun, tiada bukti yang boleh mengesahkan beliau sebagai penciptanya. Terdapat juga pernyataan bahawa hanya 2% populasi dunia saja yang mampu menyelesaikannya tanpa sebarang bantuan.

Teka-teki ini sangat mencabar dan menyeronokkan di samping sesuai untuk digunakan dalam kalangan pelajar untuk menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi. Oleh itu, tidak digalakkan mencubanya dalam kalangan kanak-kanak yang masih kecil. Jika anda mencari kelainan dalam pengajaran anda terutama dalam aspek logik dan pemikiran kritikal, teka-teki ini boleh menjadi salah satu cadangan yang baik. Ayuh kita mencubanya.

BAGAIMANAKAH TEKA-TEKINYA?

Seekor ikan yang sangat eksotik telah dicuri dari pusat akuarium bandar. Pihak polis telah menjejaki pencuri ikan itu sehingga ke sebuah taman perumahan yang berpagar. Sebaik saja mereka melepasi pagar taman perumahan itu, mereka telah menjumpai lima deretan rumah yang sama bentuk dan jenis dalam kedudukan sebaris. Malangnya, mereka tidak boleh menyerbu kelima-lima rumah itu sekaligus kerana kekurangan anggota, dan jika mereka tersilap menyerbu rumah, pencuri yang ada di situ akan mengetahui bahawa dia sedang dijejaki dan akan melarikan diri. Harapan sekarang terletak di bahu anda selaku detektif yang terbaik pernah dimiliki bandar itu untuk menyelesaikan persoalan penghuni rumah yang mana merupakan pencuri tersebut.

Apabila anda tiba di kawasan itu, pihak polis yang bertugas telah memberitahu anda segala maklumat yang berjaya mereka kumpul.

  1. Setiap penghuni rumah itu adalah orang yang berbeza, minum minuman yang berbeza dan mempunyai makanan kegemaran yang berbeza.

  2. Setiap rumah mempunyai warna cat yang berbeza pada dindingnya.

  3. Setiap rumah membela haiwan peliharaan yang berbeza, yang mana salah satunya mempunyai ikan yang dicuri itu.

Selepas beberapa kali mengelilingi rumah itu dan berhubung dengan pemaju kejiranan itu, anda telah berjaya mengumpulkan beberapa klu yang berguna.

  1. Izwan tinggal di rumah berwarna merah.

  2. Maria mempunyai anjing.

  3. Linggam minum teh.

  4. Rumah berwarna hijau itu terletak di sebelah kiri rumah yang berwarna putih.

  5. Penghuni rumah berwarna hijau itu minum kopi.

  6. Penghuni yang suka makan biskut juga ada membela burung.

  7. Penghuni rumah berwarna kuning itu suka makan coklat.

  8. Penghuni yang tinggal di rumah yang tengah itu minum susu.

  9. Tini tinggal di rumah yang pertama(mula-mula).

  10. Penghuni yang suka makan gula-gula itu mempunyai jiran yang membela kucing.

  11. Penghuni yang suka pizza pula minum jus epal.

  12. Penghuni yang membela kuda tinggal di sebelah rumah penghuni yang suka makan coklat.

  13. Safiah suka kek.

  14. Tini tinggal bersebelahan rumah berwarna biru.

  15. Penghuni yang suka gula-gula tinggal di sebelah rumah penghuni yang minum air kosong.

Siapakah yang membela ikan eksotik itu?

PENYELESAIANNYA

Terdapat pelbagai strategi boleh digunakan untuk menyelesaikan teka-teki ini. Namun, rangka yang paling mudah untuk diikuti adalah seperti berikut.

  1. Satu kerangka rumah tersebut perlu dibina terlebih dahulu untuk memudahkan proses memvisualkan setiap kedudukan rumah yang ada berserta penciriannya. Paling mudah adalah dalam bentuk susunan lejar.

  2. Melalui susunan rumah-rumah yang ada dalam kategori utama lejar itu, kita boleh bermula dengan mengisi segala butiran yang ada ke bawahnya. Apabila selesai mengisinya, ruangan terakhir yang tidak terisi akan menjadi milik ikan dan pencurinya akan terdedah.

  1. Kita bermula dengan menyelesaikan klu (8) dan (9) iaitu minuman susu untuk rumah yang di tengah-tengah dan penghuni rumah yang pertama adalah Tini.

  2. Kita akan terus mengetahui bahawa rumah kedua yang bersebelahan rumah Tini adalah rumah berwarna biru mengikut klu (14).

  3. Seterusnya, klu (5) menunjukkan rumah yang berwarna hijau dan minumannya adalah kopi, yang mana mengikut semak silang, rumah ketiga dan kedua akan terkeluar daripada kemungkinan ini. Memandangkan rumah hijau (yang minum kopi itu) itu terletak di sebelah kiri rumah berwarna putih, rumah pertama tidak boleh diterima sebagai rumah hijau kerana di kanannya adalah rumah berwarna biru dan rumah kelima pun sudah tertolak daripada mengikuti formula ini. Oleh itu, sudah tentulah rumah keempat akan menjadi rumah berwarna hijau serta minumannya adalah kopi dan rumah seterusnya akan berwarna putih, seperti yang diterangkan dalam klu (4).

  4. Klu (1) menunjukkan sebuah rumah berwarna merah dimiliki oleh Izwan. Memandangkan warna rumah yang masih belum diselesaikan adalah rumah pertama dan ketiga, sudah tentu rumah Izwan adalah rumah yang ketiga apabila rumah pertama awal-awal lagi sudah ditandai dengan nama Tini.

  5. Hanya rumah berwarna kuning yang masih berbaki mengikut klu (7) dan secara langsung akan dimiliki oleh rumah Tini dan ditandai dengan makanan coklat sebagai kegemarannya.

  6. Justeru, apabila klu (12) memberitahu bahawa penghuni yang membela kuda tinggal bersebelahan dengan rumah Tini, maka rumah kedua adalah jawapan untuk haiwan peliharaan ini.

  7. Langkah seterusnya adalah untuk mengetahui apakah minuman yang menjadi pilihan Tini. Klu (3) dan klu (12) boleh disingkirkan daripada pernyataan yang melibatkan Tini, dan memandangkan kita sudah pun menyelesaikan rumah penghuni yang minum kopi dan susu, maka yang boleh diterima untuk rumah Tini adalah air kosong seperti yang tertera dalam klu (15). Pernyataan dalam klu tersebut juga membenarkan kita mengetahui bahawa penghuni rumah kedua yang suka makan gula-gula.

  8. Memandang rumah kelima yang tidak mempunyai sebarang deskripsi makanan atau minuman, maka semak silang akan menunjukkan bahawa klu (11) yang bersesuaian dengan rumah ini.

  9. Hanya rumah kedua yang masih tidak mempunyai minuman. Oleh itu, penghuni rumah itu sudah tentu adalah Lingam yang minum teh berdasarkan klu (3).

  10. Manakala rumah keempat pula yang masih belum dikenalpasti penghuni dan makanan kegemarannya. Deskripsi dalam klu (13) amat bersesuaian dengan rumah ini.

  11. Melalui proses penyingkiran,hanya makanan kegemaran Izwan yang masih belum diketahui. Maka klu (6) amat berpadanan untuk diisi dalam deskripsi itu. Izwan akan memiliki burung dan suka makan biskut. Penghuni yang masih tertinggal adalah penghuni rumah kelima yang mana hanya nama Maria yang masih belum diisi dan sudah tentulah dia akan membela anjing di rumah itu mengikut klu (2).

  12. Klu (10) memberitahu bahawa rumah kedua yang mempunyai jiran yang membela kucing dan memandangkan rumah sebelah kanannya sudah membela burung, maka dapat disimpulkan bahawa rumah yang di sebelah kirinya yang pasti membela kucing tersebut.

  13. Sekarang, hanya satu ruangan saja belum diisi iaitu penghuni yang membela ikan tersebut.

Safiah adalah pencurinya.

KESIMPULAN

Anda bersama pasukan polis pun terus menyerbu rumah pencuri itu. Pintu dipecahkan dan pencuri itu terus ditangkap dan digari tanpa dia sempat membuat apa-apa. Ikan itu akhirnya berjaya dikembalikan semula.

Walaupun penjelasan di atas agak ringkas, namun sebenarnya menyelesaikan teka-teki ini bukan sesuatu yang senang di mana anda mudah untuk bermula dengan permulaan yang salah atau berakhir dengan penghujung yang silap. Sebahagian besar proses memerlukan anda menggunakan teknik cuba dan ralat untuk menyingkirkan klu-klu yang ada. Semakin banyak bahagian logik yang anda selesaikan, semakin mudah untuk naluri anda mengetahui siapakah pencurinya. Cubalah bersama-sama pelajar anda untuk pengalaman yang menyeronokkan!

Disediakan oleh Projek Ihsan.