APA ITU PEDOFILIA?

Jenayah pedofilia merupakan jenis jenayah yang melibatkan kecenderungan dan keinginan seksual terhadap kanak-kanak, manakala pesalah pedofil pula merujuk kepada pelaku jenayah pedofilia. Salah laku jenayah ini bukanlah sesuatu yang baru dalam negara kita. Namun begitu, ianya lebih diberikan perhatian oleh masyarakat umum apabila pendedahan demi pendedahan dilakukan kebelakangan ini. Apa yang membimbangkan adalah kelicikan pedofil yang masih bebas di luar sana.

Ingatkah lagi kita akan pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin pada tahun 2007 dahulu? Kegagalan pihak berkuasa menangkap pembunuh adik Nurin membuktikan bahawa sekurang-kurangnya seorang pedofil tegar masih bebas. Pedofil dalam kes ini memperoleh kepuasan melalui penderaan seksual yang kejam terhadap anak kecil.

pexels-photo-132650.jpeg

WASPADA BAHAYA PEDOFIL

Kita pernah digemparkan dengan berita tertangkapnya seorang pedofil yang merupakan pelajar Malaysia di sebuah universiti terkemuka di London. Pelajar ini menyimpan, menghasil dan mengedarkan gambar dan video pornografi kelas A yang hakikatnya merupakan penderaan seksual yang ekstrim terhadap kanak-kanak. Kes sebegini menimbulkan tanda tanya – berapa ramai lagi pesalah laku jenayah pedofilia yang masih berselindung di sebalik topeng manusia dalam kalangan kita?

Pedofil yang masih bebas itu boleh jadi pernah mendukung anak kecil kita yang dipujinya comel. Dia mungkin merupakan teman kita di laman sosial, seorang yang berjiran dengan kita, atau mungkin juga orang di sebelah kita sekarang ini dan yang pastinya dia merupakan saudara salah seorang daripada kita. Pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku.

Pada awal tahun 2015, ibu bapa di England dikejutkan dengan penemuan laman web pedofil berpangkalan di Rusia yang mengandungi 41 juta keping gambar kanak-kanak. Gambar-gambar tersebut disalin daripada akaun media sosial peribadi/keluarga mangsa dan dimuatnaik ke laman web yang mempunyai beratus ribu pengunjung dari seluruh dunia. Petikan daripada laporan Daily Mail UK, “Most of the images are accompanied by inappropriate comments from users across the world, which show they are being used for sexual gratification.” (Kebanyakan imej-imej yang dijumpai turut disertakan dengan pelbagai komen yang tidak sopan yang datang daripada pembaca-pembaca dari pelbagai pelosok dunia, yang menunjukkan bahawa imej-imej ini digunakan untuk kepuasan seksual.)

Bayangkan jika gambar anak-anak kecil kita juga dimuatnaik di situ.

Kebanyakan kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofil adalah mereka yang belum baligh (pre-pubescent), sama ada lelaki mahupun perempuan. Sebagai contoh, pada awal tahun 2015, seorang bayi berusia 7 bulan telah dirogol oleh suami seorang pengasuh kanak-kanak di Kepong, Kuala Lumpur. Ini bukanlah satu-satunya kes di Malaysia yang melibatkan bayi. Banyak lagi kes yang telah dilaporkan. Betapa jahat dan sakitnya jiwa seorang penjenayah pedofil. Adakah kita masih tidak perlu kisah?

BAGAIMANAKAH IBUBAPA BOLEH MELINDUNGI ANAK-ANAK DARIPADA JENAYAH PEDOFILIA?

1. Sentiasa berhubung dengan anak-anak dan bina jalinan kepercayaan dengan mereka agar kita dapat berperanan sebagai tempat bercerita dan mengadu.

2. Ingatkan anak-anak kecil untuk tidak menyimpan sebarang rahsia antara anak dan orang dewasa yang lain. Pedofil selalunya memujuk kanak-kanak untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka.

3. Elakkan sifat malu dan segan untuk bercakap tentang persoalan seksual dengan anak-anak. Setiap hari, anak-anak kita sentiasa berisiko untuk terdedah kepada unsur seksual sama ada melalui media massa, internet, iklan, sekolah dan paling menghampakan, melalui muka hadapan surat khabar utama. Rancangan televisyen kanak-kanak dan siri kartun juga ada yang menyelitkan unsur seksual dan menggunakan bahasa yang seumpamanya. Kita mesti bersedia dan bersifat terbuka untuk mendidik anak-anak tentang isu seksual apabila tiba masanya.  Berbicaralah mengikut kesesuaian umur anak dengan bahasa yang boleh difahami anak-anak (nota editorial: panduan untuk berbicara mengenai unsur seksual pada pelbagai peringkat umur kanak-kanak boleh dibaca di sini).

4. Sentiasa peka dengan gerak tubuh anak-anak yang mungkin mempamerkan sebarang ketidakselesaan atau kegelisahan. Ambil tahu perihal mereka.

5. Berhati-hati dengan paparan gambar dan video anak-anak di internet secara umumnya. Adakah kita mengenali dengan baik diri setiap ‘friend’ dan ‘follower’ di laman sosial kita? Gambar-gambar anak kita mungkin boleh termasuk dalam 41 juta gambar di laman web pedofilia yang disebut di atas disebabkan individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini. Bahkan, sekarang ini mungkin ada sang pedofil yang sedang berfantasi secara seksual menggunakan gambar anak-anak kita.

6. Ajar anak kecil tentang sentuhan yang dibolehkan atau tidak dibolehkan. Pesan kepada anak-anak lelaki dan perempuan, bahawa tubuh badan mereka adalah milik mereka dan tidak boleh sewenang-wenangnya disentuh oleh orang lain termasuklah saudara-mara terdekat ataupun mereka yang berada di rumah pengasuh/nurseri/tadika.

pexels-photo.jpg

7. Kenalpasti urusan-urusan yang membabitkan keadaan berisiko kepada anak-anak seperti membersihkan diri selepas ke tandas, bersalin pakaian, mandi dan sebagainya serta kerapkan bertanya kepada mereka dalam perbualan tersebut tentang siapakah yang terlibat. Contohnya, kalau tiba-tiba anak kecil bercerita bahawa pada hari ini ada orang selain daripada penjaganya yang membersihkan bahagian-bahagian anggota sensitif anak itu selepas ke tandas, atau ada orang mengambil gambar mereka semasa mandi, maka itu adalah petanda anda perlu bertindak segera.

8. Ajar anak-anak teknik JERIT, LARI DAN CERITA (YELL, RUN AND TELL) sekiranya mereka disentuh oleh sesiapa yang membuatkan mereka berasa tidak selesa seperti yang telah kita ajarkan (di atas).

9. Jangan biarkan anak kecil ke tandas awam bersendirian. Iringilah anak dan tunggu sehingga anak selesai ‘berurusan’ di tandas. Kiranya kita perlu ke tandas dan anak kita berseorangan dengan kita, apa yang boleh dilakukan adalah mencari tandas awam yang mempunyai banyak unit tandas dan suruh anak kita masuk ke dalam sebuah unit tandas. Pesan kepada anak supaya terus berada di dalam unit tandas mereka yang berkunci, sehinggalah kita mengetuk dan memanggil.

10. Pasanglah perisian kawalan ibu bapa (parental control software) atau perisian saringan khusus di komputer yang digunakan oleh anak-anak. Bersembanglah dengan anak-anak tentang bahaya berbual dengan sesiapa sahaja yang baru dikenali di internet. Pesalah pedofil sentiasa mencari mangsa dengan merayau-rayau di internet. Mereka pandai memujuk dan bermanis kata. Mereka juga ada menggunakan identiti palsu supaya mudah memperdayakan kanak-kanak.

11. Adakan peraturan yang mewajibkan anak-anak menggunakan komputer hanya di ruang terkawal keluarga/umum di dalam rumah. Elakkan daripada membenarkan anak-anak menyimpan atau menggunakan komputer di dalam bilik tidur mereka kerana ini menyukarkan proses pemantauan. Perkara ini juga membuka peluang untuk pesalah pedofilia ‘masuk jarum’ kerana mereka tahu anak kita tidak diawasi.

12. Elakkan memberi telefon pintar kepada anak-anak kecil. Aplikasi dengan fungsi ‘chat’ akan mendedahkan anak-anak anda kepada bahaya pemangsa siber.

13. Pastikan kita kenal siapa kawan-kawan rapat anak-anak kita, begitu juga guru-guru, jurulatih dan semua remaja serta mana-mana orang dewasa yang berhubung dengan anak-anak kita.

14. Jangan biarkan anak kecil berjalan ke mana-mana secara berseorangan walaupun destinasi tersebut hanyalah berdekatan seperti kedai, pasar malam dan sebagainya. Pesalah pedofil mungkin telah lama memerhatikan rutin dan gerak-geri anak kita. Bahkan, mereka mungkin telah pun merancang sesuatu dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk bertindak jahat.

15. Bekerjasama dengan pihak nurseri/pra sekolah/sekolah anak untuk melindungi anak-anak daripada aktiviti pedofilia.

BAGAIMANA PIHAK NURSERI/PRA-SEKOLAH/SEKOLAH BOLEH MELINDUNGI KANAK-KANAK DARIPADA JENAYAH PEDOFILIA?

pexels-photo-225957.jpeg

1. Tidak memaparkan gambar pelajar dalam akaun media sosial peribadi guru dan kakitangan. Yakinkah kita ‘friend’ dalam media sosial tersebut bukannya pedofil? Jika ada ibubapa yang menjadi ‘friend’ guru atau kakitangan, biarlah hanya gambar anak ibubapa itu sahaja yang dipaparkan jika kebenaran diberikan, bukannya keseluruhan kelas.

2. Paparan gambar dalam laman web dan media sosial rasmi pihak sekolah perlu mendapat persetujuan kebenaran ibubapa terlebih dahulu.

3. Mengawal pengambilan gambar dan video pelajar oleh para guru dan kakitangan. Di sesetengah negara, guru tidak dibenarkan membawa kamera, malah telefon bimbit guru yang berkamera perlu ditinggalkan di pejabat sepanjang waktu persekolahan untuk memastikan gambar dan video tidak dirakam sewenang-wenangnya jika bukan atas dasar urusan rasmi.

4. Terdapat beberapa negara yang mempunyai sistem daftar-rujuk yang membolehkan sekolah dan organisasi yang terlibat dengan kanak-kanak memeriksa latar belakang mereka yang bekerja dengan kanak-kanak. Sistem ini diwujudkan untuk melindungi keselamatan kanak-kanak. Sistem ini juga harus diwujudkan dalam negara kita agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang terlibat dengan kanak-kanak.

5. Melakukan pemantauan untuk mengesan sekiranya ada guru atau kakitangan yang gemar berseloroh dengan unsur yang tidak sopan/lucah. Ini adalah salah satu indikasi kemungkinan wujudnya kecenderungan.

6. Memastikan pintu kelas mempunyai bahagian berkaca untuk memudahkan penglihatan ke dalam kelas.

7. Tiada urusan dilakukan antara guru dan kanak-kanak di dalam bilik yang tertutup. Pintu mesti sentiasa terbuka.

8. Mendidik guru, ibubapa dan pelajar tentang pedofilia bagi membina kesedaran tentang betapa seriusnya masalah tersebut.

KESIMPULAN

pexels-photo-87324.jpeg

Prihatinlah wahai ibubapa, guru-guru dan penggubal polisi. Ambil tahulah tentang risiko pedofilia ini yang sering dipandang enteng.

Sejauh mana sesuatu masyarakat itu melindungi keselamatan anak-anak melalui kesedaran, polisi dan undang-undang, sejauh itulah bukti kesungguhan masyarakat tersebut dalam menghargai kanak-kanak.

Marilah juga kita sama-sama berhubung dengan anak-anak kita supaya mereka tidak menjadi seorang pedofil di kemudian hari. Semoga Allah melindungi anak-anak kita yang merupakan amanah daripada-Nya.

Disediakan oleh,
Puan Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)
Parent Connect Consultancy

Rujukan:

  1. https://www.facebook.com/MyParentConnect/posts/902604863134566

  2. http://www.astroawani.com/berita-dunia/pelajar-genius-malaysia-di-london-dipenjara-lima-tahun-miliki-bahan-lucah-kanak-kanak-59096&sa=D&ust=1477137325522000&usg=AFQjCNGLzQWcVgDD_AoNI4ACqpMLNISg0Q

  3. http://www.dailymail.co.uk/news/article-2908086/British-parents-discover-photos-children-stolen-Facebook-posted-Russian-website-used-paedophiles.html&sa=D&ust=1477137325509000&usg=AFQjCNHDHVMruqWe94MI3UFn4T4fS_ekxw

  4. http://www.parenting.com/article/talking-to-kids-about-sex-21335549&sa=D&ust=1477702243280000&usg=AFQjCNHZa-4yVe5GI2aW2lJW3x6yolzN3w

  5. https://www.linkedin.com/pulse/20140916142130-238758622-characteristics-and-behavioral-indicators-of-a-pedophile

  6. http://www.webmd.com/mental-health/features/explaining-pedophilia