“Kenapa kami perlu mengangkat tangan?”

“Kenapa kami tidak boleh bercakap ketika melakukan kerja ini?”

“Kenapa kami perlu beratur?”

Soalan-soalan yang diterima mungkin berbeza dengan senarai di atas, tetapi kesemuanya bermaksud untuk mencabar kaedah anda. Soalan-soalan tersebut terbit untuk menguji keputusan yang anda buat, motif, dan juga kadangkala tahap kekuasaan anda sebagai seorang guru. Ianya sering diujarkan dalam nada yang sedikit keras atau menyalahkan serta selalunya berlaku di hadapan kelas dalam keadaan semua pelajar boleh mendengarnya.

Anda mesti berhati-hati dalam memilih tindak balas.

Hal ini demikian kerana jika anda memilih untuk bersikap defensif, bersilang lengan dan mengatakan “kerana cikgu cakap begitu” atau “kerana cikgu adalah cikgu kamu,” anda hanya akan menimbulkan salah faham dengan pelajar anda.

Pengurusan bilik darjah berlaku dengan efektif apabila para pelajar memberikan kepercayaan mereka. Paling efektif sekali apabila mereka percaya bahawa anda mahu usahakan yang terbaik bagi mereka dan memahami bagaimana rasanya apabila di tempat mereka. Ia juga menjadi berkesan apabila mereka sendiri dengan rela hati mengikuti cara yang anda mahukan. Hal ini kerana pada hari ini, kaedah ‘ikut cara saya atau siap awak’ tidak akan begitu berkesan lagi. Ianya hanyalah membawa diri anda ke arah karier yang penuh tekanan dan pertelingkahan yang kerap dengan pelajar.

Oleh itu, apabila ada pelajar yang mempersoalkan polisi, prosedur, peraturan atau jangkaan-jangkaan anda, adalah baik jika anda memandangnya sebagai peluang untuk menunjukkan yang anda sentiasa mahu mengutamakan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).

“Kalau boleh, cikgu memang mahu kamu panggil saja cikgu bila-bila kamu mahukan. Itu sesuatu yang sangat bagus. Tapi disebabkan ada 28 orang pelajar dalam kelas ini, cikgu tidak dapat memberikan perhatian kepada kamu seorang saja. Itu tidak adil kepada rakan-rakan kamu yang lain.”

“Cikgu faham apa yang kamu katakan, tetapi cikgu perlu memastikan dan membantu proses pembelajaran kamu agar berjalan lancar. Bercakap ketika melakukan kerja sendiri akan mengganggu rakan-rakan kamu yang sedang cuba untuk fokus.”

“Sudah tentu menyeronokkan apabila kita berjalan masuk ke kelas atau perpustakaan dalam gerombolan kumpulan yang ramai dan meriah. Walaubagaimanapun, kita mesti fikirkan bahawa orang lain pun menggunakan laluan tersebut. Kita juga harus bertimbang rasa agar tidak mengganggu orang lain dalam perjalanan tersebut. Itu pentingnya beratur.”

Dengan menggunakan kekuatan di sebalik perkataan ‘kenapa’, dan mengolahnya secara sesuai dengan sebab sebenar untuk setiap keputusan anda, anda mampu mengubah situasi itu untuk memihak kepada anda. Anda boleh meyakinkan peserta kelas anda bahawa setiap apa yang anda lakukan mempunyai tujuan yang tersendiri dan bermanfaat untuk mereka, orang-orang sekeliling mereka, dan juga keseluruhan kelas itu. Ramai pelajar yang masih percaya bahawa cikgu mereka gemar untuk mengarah-arah mereka – kerana itu kesimpulan yang mereka buat apabila anda tidak memberikan penjelasan ‘kenapa’ dalam tindakan yang anda laksanakan.

Semakin terbuka dan telus cara anda dalam menjelaskan logik di sebalik kaedah atau cara anda, semakin ramai pelajar yang mudah menerimanya.

Oleh itu, apabila keluar soalan yang bermaksud untuk mencabar atau menggoyahkan anda, ambil peluang ini. Terima dengan seadanya. Bahkan, anda juga boleh menggalakkannya.

“Jika kamu mahu tahu kenapa kita melakukan sesuatu perkara itu, beritahu cikgu. Cikgu gembira untuk membantu kamu semua.”

Pendekatan ini pasti akan membuatkan anda menjadi seorang pendidik yang berbeza dan membantu menunjukkan kemurnian tujuan anda. Ia akan membimbing pelajar anda untuk mengikuti arus ini, bukan melawannya. Ia menzahirkan keikhlasan anda.

Diterjemahkan oleh Projek Ihsan.

Artikel asal dalam Bahasa Inggeris ditulis oleh Michael Linsin.

Rujukan:

  1. http://www.smartclassroommanagement.com/2016/09/10/how-to-handle-students-who-question-your-methods/

Baca juga: 3 Nilai Utama Gerakan Sukarelawan