“Sukarelawan sebagai Tonggak Utama dalam Pembinaan Negara”

Ya, maafkan saya. Tajuknya memang klisé, seolah-olah seperti tajuk esei SPM ataupun wacana pidato peringkat sekolah.

Namun, bukan tajuk itu yang menjadi isunya. Pada 17 Ogos lepas, saya telah berpeluang untuk menghadiri Seminar Antarabangsa Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) yang bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan tajuk yang tertera di atas adalah topik untuk salah satu sesi forum umum yang telah diadakan.

Berdasarkan intipati forum tersebut, saya tertarik untuk mencoretkan kembali isi yang telah dikupas oleh salah seorang ahli panel forum itu iaitu Dr. Jamilah Mahmood, pengasas Mercy Malaysia dan kini bertugas untuk International Federation of Red Cross and Red Crescent Societies yang berpangkalan di Geneva.

Nota penting: Dr. Jamilah mengupas isu sukarelawan ini daripada aspek aktivis kemanusiaan (humanitarianism) dan menggunakan istilah kesukarelawanan dan kemanusiaan secara bersilih ganti. Namun penulis percaya nilai-nilai yang dikongsikan boleh diaplikasi secara terus kepada arena kesukarelawanan secara amnya. 

TIGA NILAI UTAMA SUKARELAWAN

Menurut beliau ada tiga nilai kesukarelawanan/kemanusiaan yang menjadi teras utama iaitu;

  1. Kesalingan (mutuality) – interaksi antara pihak yang memberi dan pihak yang menerima perlu dijalinkan secara dua hala dan harus menghasilkan faedah kepada kedua-kedua belah pihak.
  2. Kesaksamaan (impartiality) – cara untuk memastikan gerakan kesukarelawanan/kemanusiaan bergerak dengan telus ialah dengan mewujudkan gerak kerja yang tidak menyebelahi mana-mana pihak. Bantuan harus diberikan tanpa diskriminasi.
  3. Kemandirian (independency)  – sesebuah organisasi itu perlu memastikan bahawa kesinambungan gerak kerjanya tidak bergantung kepada mana-mana pihak.

Walaupun Dr. Jamilah tidak menyatakan secara terus tetapi saya yakin dan percaya bahawa ketiga-tiga nilai yang beliau sebutkan di atas adalah nadi utama untuk memastikan gerakan kesukarelawanan/kemanusiaan yang dijalankan tetap mapan dan konsisten dalam perlaksanaannya.

SUKARELAWAN SEBAGAI ASET

Dr. Jamilah juga ada mengupaskan berdasarkan rujukan satu kajian sosial bahawa dalam setiap RM1 yang dilaburkan untuk usaha kesukarelawanan, pulangan hingga sebanyak RM5 mampu dijana. Oleh itu, kesukarelawanan harus dilihat sebagai aset, bukan sekadar satu kegiatan untuk mengisi masa lapang.

Kesukarelawanan juga harus dilihat sebagai satu mekanisme dalam melengkapkan komitmen kerajaan dalam membina inklusiviti dan kesepakatan sosial. Menurut Dr Jamilah, secara umumnya wujud jurang kepercayaan antara kerajaan dan rakyat. Maka, kesukarelawanan boleh dilihat sebagai salah satu cara untuk memecahkan jurang tersebut dengan kerajaan akan memberi ruang kepada rakyat untuk menyelesaikan masalah sosial dengan kadar kemampuan mereka dan rakyat membantu kerajaan dalam proses memahami realiti pembangunan sosial.

SUKARELAWAN: SATU TANDA ARAS

Untuk memastikan aspek kesukarelawanan membawa satu nilai yang utuh, latihan secara berperingkat dan berterusan perlu diberikan kepada organisasi dan para sukarelawan iaitu dalam erti kata lain untuk meningkatkan kemampuan gerak kerja mereka. Tunas kepada latihan ini adalah untuk mengubah cara pandang kita iaitu dengan menyakini bahawa semua orang mampu dan boleh memberi manfaat.

Penandaan aras kemampuan organisasi sukarelawan kita dengan gerakan-gerakan antarabangsa yang lebih unggul perlu dilakukan supaya gerakan sukarelawan yang diusahakan akan kekal relevan dan berimpak maksimum serta terus berevolusi.

Disediakan oleh,
Syazwan Adzhar

Rujukan:

  1. http://prpm.dbp.gov.my